| Sunday, 21-May-2006 18:53 |
|
Intai Peluang di Hollywood
|
|
SIAPA yang tidak gembira jika berpeluang menjejaki Hollywood apatah lagi apabila berpeluang bersua muka dengan bintang masyhur di situ. Aktres terkenal seperti Maya Karin pun akan teruja. Bukan sekadar omongan kosong sebaliknya satu kenyataan buat Maya kini.
Kelak dia diterbangkan oleh Star TV ke Los Angeles untuk bertemu bintang ternama di situ tatkala semuanya berkumpul bagi acara berprestij bergelar Anugerah Academy.
Sebagai VJ Channel V, Maya terpilih ke Hollywood bagi menjayakan program Road To The Red Carpet yang akan ke udara secara langsung di Star Movies.
Tugasan terbaru itu sungguh bermakna buat dirinya, kata Maya, walaupun langkahnya ke situ adalah sebagai hos dan bukan aktres.
Apatah lagi itu kali pertama pelakon Pontianak Harum Sundal Malam itu menjejakkan kaki ke Hollywood.
Maya juga mendahului keterujaannya menjayakan tugasan itu dengan melakukan pelbagai rujukan tentang Oscar termasuk filem yang tercalon. Itu termasuk menilik siapakah yang bakal ditemuinya di karpet merah tersebut.
“Ia tugasan biasa sebagai hos, saya perlu tahu siapa yang bakal saya temui kelak. Tentu saja saya tidak boleh bertanya soalan yang membodohkan diri sendiri.
“Saya sudah menonton semua filem yang dicalonkan dan kini bersedia untuk menemui mereka,” katanya yang turut meramalkan kejayaan besar untuk Brokeback Mountain.
Di Hollywood, Maya menyimpan hasrat untuk mendekati bintang terkenal seperti pengarah Brokeback Mountain, Ang Lee dan Datuk Michelle Yeoh.
“Saya tertarik dengan Ang Lee sebagai orang Asia iaitu Taiwan dapat menembusi pasaran Hollywood. Saya berbesar hati jika berpeluang bertemu dengan pengarah tersebut,” katanya yang akan berangkat ke Los Angeles pada 27 Februari ini.
Tidak ketinggalan kata Maya, dia berkeinginan bertemu dengan idolanya, Julia Roberts dan Jennifer Aniston.
“Sebenarnya saya teringin sangat untuk bertemu Brad Pitt dan Angelina Jolie tetapi memandangkan Jennifer Aniston turut hadir tidak mungkin mereka akan berada di situ. Mungkin saya boleh bertanyakan sesuatu kepada Jennifer,” harap Maya.
Tahun ini untuk Anugerah Academy selain daripada Jennifer antara bintang yang akan menjadi penyampai Oscar adalah Hilary Swank, Tom Hanks, Sandra Bullock, Jamie Foxx, Morgan Freeman, Jessica Alba, Owen dan Luke Wilson.
Sebagai persediaan kata Maya, dia juga turut mendapatkan maklumat terkini tentang dunia fesyen di majalah dan internet.
“Itu yang paling penting kerana namanya pun saya akan berada di karpet merah,” kata Maya.
Apa yang lebih menarik, kata Maya, dia akan menjadi hos program tersebut bersama hos Star Movies, Opening Nights, Terence Yin dari Hong Kong. Sebelum terbang ke Los Angeles, Maya terlebih dahulu membuat promosi bersama Terence di Hong Kong.
Diibaratkan sambil menyelam minum air, misi Maya ke Hollywood bukan sekadar menjadi hos bagi program tersebut.
Sebaliknya selama seminggu berada di sana dia juga akan mengintai peluang berlakon.
“Keutamaan saya memang untuk menjayakan program itu dan jika mempunyai masa saya akan berusaha mengenal pasti peluang ke situ.
“Itu termasuk bagaimana cara mendapatkan ejen, apakah yang perlu saya lakukan dan membuat portfolio,” jelas Maya.
Sebagai seorang pelakon yang bercita-cita tinggi dan versatil, Maya juga menaruh harapan untuk mencipta nama di Hollywood. Ia bukan sesuatu yang mustahil kata Maya, melihat kepada kejayaan Ang Lee dan Michelle.
Walaupun bercita-cita memperkembangkan kerjayanya ke luar negara namun itu tidak bererti Maya akan melupakan filem tempatan. Dalam kesibukan itu, kelak Maya akan ke lokasi filem terbaru yang juga daripada Pesona Pictures yang dimiliki Shuhaimi Baba.
“Mungkin pada April nanti kalau tidak ada apa aral melintang,” katanya yang masih berahsia tentang tajuk filem itu.
Menjawab persoalan tentang sikapnya yang agak selektif dalam memilih tawaran berlakon sejak kebelakangan ini, kata Maya, ia terdorong daripada sikapnya yang berhati-hati dan bukan demand.
“Saya lebih berhati-hati. Saya sangat pentingkan skrip dan senantiasa berharapkan skrip yang kuat,” komen Maya yang membayangkan kematangannya kini.
Memberitahu tentang perkembangannya dalam bidang nyanyian pula, kata Maya, dia tetap menaruh harapan untuk menjayakannya.
Walaupun kontraknya dengan syarikat rakaman MIG Records sudah berakhir Januari lepas, kata Maya dia akan berusaha mencari langkah baru.
Begitu juga kata Maya, dia tidak serik untuk membuat album dan menyanyi walaupun kerjayanya dalam bidang itu belum lagi menyerlah pada awalnya.
“Selewat-lewatnya akhir tahun ini saya akan melakukan comeback dalam bidang nyanyian,” janjinya.
*Jangan lupa saksikan aksi Maya Karin bergandingan dengan Terence Yin menjejaki bintang Hollywood di karpet merah dalam Road To The Red Carpet pada 6 Mac pukul 7.30 pagi dan 7.30 malam secara langsung di saluran Star Movies.
Acara Anugerah Academy ke-78 akan ke udara pada pukul 8 pagi dan 8 malam.
|